Saturday, April 17, 2010

Biografi Sastrawan Klasik (1)


Biodata/Biografi  Prof. Dr. Hamka
Haji Abdul Malik Bin Haji Abdul Karim Amarullah ( HAMKA).
Tokoh dari tanah seberang ini sengaja dipilih untuk disisipkan dalam koleksi ini kerana Almarhum Haji Abdul Malik Bin Haji Abdul Karim Amarullah atau dikenali sebagai Prof. Dr Hamka adalah ulama besar Nusantara yang sangat terkenal. Lebih-lebih lagi beliau berasal dari tanah Minangkabau yang mempunyai pertalian dengan masyarakat adat perpatih di Negeri Sembilan. Setiap orang di negara ini yang pernah melihat dan mendengar kuliah agama yang disampaikan oleh tokoh ini pastinya merasai kerinduan yang mendalam terhadap nastolgia lampau. Penyusun sendiri tanpa sedar boleh menitiskan airmata apabila tokoh ‘idola’ ini tersedu dalam ceramah dakwahnya di kaca TV kira-kira awal tahun 1970an dahulu. Gayanya yang tersendiri dalam berdakwah amat memukau sekali bagai magnet yang boleh menyentuh hati setiap insan yang mendengar.
Latar Belakang Ulama
Pak Hamka atau Buya Hamka adalah nama istimewa yang mempunyai nilai tersendiri di persada perkembangan Islam dan dunia kesusasteraan nusantara. Hamka dari singkatan nama Haji Abdul Malik bin Haji Abdul Karim. Almarhum dilahirkan di Kampung Tanah Sirah ( ada riwayat lain mengatakan di Kampung Molek), Negeri Sungai Batang Maninjau, Minangkabau pada 14 Muharram 1326H bersamaan 17 Febuari 1908. Bapanya Haji Abdul Karim Amrullah adalah ulama terkenal Minangkabau yang tersohor dan dianggap pula pembawa reformasi Islam ( kaum muda). Menariknya pula, datuk beliau adalah ulama tarekat yang bersuluk terkenal. Tuan Kisa-i ( datuk Hamka) tetap mengamal Thariqat Naqsyabandiyah, istiqamah mengikut Mazhab Syafie. Pemahaman Islam Tuan Kisa-i sama dengan pegangan ‘Kaum Tua’, tetapi pada zaman beliau istilah ‘Kaum Tua’ dan ‘Kaum Muda’ belum tersebar luas. Anak beliau, Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah, adalah seorang pelopor dan termasuk tokoh besar dalam perjuangan ‘Kaum Muda’. Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah menolak amalan Thariqat Naqsyabandiyah, sekali gus menolak ikatan ‘taqlid’, tetapi lebih cenderung kepada pemikiran Syeikh Muhammad Abduh. Manakala ibunya pula bernama Siti Safiyah Binti Gelanggar yang bergelar Bagindo nan Batuah.
Menurut sejarahnya, bapa beliau pernah dibuang daerah oleh penjajah Belanda ke Sukabumi dalam tahun 1941 lantaran fatwa beliau yang dianggap membahayakan penjajah dan keselamatan umum. Haji Abdul Karim adalah tuan guru kepada Sheikh Haji Ahmad Jelebu[1] yang riwayat hidupnya turut disajikan dalam koleksi ini. Beliau meninggal dunia pada 21 Jun 1945.
Pendidikan
Hamka mendapat pendidikan awal agama dari Madrasah Tawalib yang didirikan oleh bapanya. Masa kecilnya, seperti kanak-kanak lain beliau juga dikatakan lasak dan nakal. Ini diceritakan sendiri oleh Sheikh Haji Ahmad Jelebu bahawa Hamka pernah menyimbah air kepada penuntut lain semasa mengambil wuduk. Selepas itu beliau berguru pula kepada Sheikh Ibrahim Musa di Bukit Tinggi. Dalam tahun 1924, Hamka berhijrah ke Jawa sempat menuntut pula kepada pemimpin gerakan Islam Indonesia seperti Haji Omar Said Chakraminoto. Lain-lain gurunya ialah Haji Fakharudin, Ki Bagus, Hadi Kesumo dan iparnya sendiri Rashid Sultan Mansur.
Kerjaya Hidup
Hamka telah menyertai Gerakan Muhamadiah dan menerajui kepimpinan pertubuhan itu di Padang Panjang tahun 1928. Hamka bergiat aktif bagi menentang gejala khurafat, bidaah dan kebatinan sesat di sana. Beliau menubuhkan Madrasah Mubalighin pada 1929 dan dua berikutnya, Pak Hamka berpindah pula ke Kota Makasar, Sulawesi untuk menjadi pimpinan Muhamadiah.
Keilmuan dan ketokohan yang ada pada beliau mendorong beberapa buah universiti mengambilnya sebagai pensyarah dalam bidang agama dan falsafah. Antara universiti itu ialah Universiti Islam Jakarta, Universiti Mohamadiah Sumatera Barat, Universiti Islam Pemerintah di Jogjakarta dan Universiti Islam Makasar. Bagi mengiktiraf keilmuannya, Universiti Al Azhar, Mesir telah menganugerahkan Doktor Kehormat dalam tahun 1958 dan beliau turut menerima ijazah Doktor Persuratan UKM pada 7 Jun 1974.
Novel-novel dan kitab-kitab
Keistimewaan Pak Hamka ialah kebolehannya menulis novel dan menghasilkan kitab-kitab agama yang terkenal. Berikut ialah beberapa buah buku karangan tersebut:
a. Novel
Tenggelamnya Kapal Vanderwick
Dalam Lembah kehidupan
Di Bawah Lindungan Kaabah
Kenangan Hidup
Merantau Ke Deli
Ayahku
Laila Majnun
Siti Sabariah
b. Kitab Agama dan Falsafah
Tafsir Al Azhar ( 30 Juz)
Khatib Ul Ummah ( 1925)
Tarikh Abu Bakar As Sidiq
Ringkasan Tarikh Umat Islam
Islam dan Adat Minangkabau
Tasawuf Moden
Falsafah Hidup
Lembaga Hidup
Lembaga Budi
c. Majalah
Kemahuan Zaman ( 1929)
Al Mahdi ( 1933)
Pendoman Masyarakat ( 1936 – 1942)
Semangat Islam ( 1944- 1948)
Menara ( 1946-1948)
Panji Masyarakat ( 1959)

Biografi – Biodata Muhammad bin Haji Salleh
Tarikh Lahir : 26 Mac 1942 di Taiping, Perak Darul Ridzuan.
Alamat : 254, Jalan 6, Taman Sekamat, 43000 Kajang, Selangor Darul Ehsan.
Muhammad bin Haji Salleh hanya mula dikenali umum di tanah air sebagai penulis pada akhir tahun 1960-an meskipun beliau sebenarnya telah menulis lebih awal lagi. Beliau banyak menghabiskan usianya di luar negara dan mula menulis puisi yang kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. Bila kembali ke tanah air puisi-puisi beliau mendapat perhatian para pengkritik
Beliau mula menulis semenjak di Maktab Perguruan Tanah Melayu di Brinsford Lodge, England, pada tahun 1963. Oleh sebab latar belakang persekolahannya yang hampir pada bahasa dan kesusasteraan Melayu dan Inggeris, maka beliau menulis dalam kedua-dua bahasa itu. Sajak-sajaknya dalam bahasa Inggeris banyak dipengaruhi oleh T.S. Eliot dan W.H. Auden yang diminatinya pada waktu itu.
Muhammad Haji Salleh mendapat pendidikan awal di High School Bukit Mertajam dan Maktab Melayu Kuala Kangsar. Kemudian melanjutkan pelajarannya ke Malayan Teachers College, Brinsford Lodge, England. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera di Universiti Malaya (Singapura), ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Malaya dalam tahun 1970 dan ijazah Ph.D. dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat dalam tahun 1973. Dalam tahun 1977, beliau pernah dilantik sebagai Profesor Tamu di bawah rancangan Fulbright-Hays dan mengajar di North Carolina State University, Raleigh, Amerika Syarikat. Muhammad Haji Salleh pernah bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu dan pernah menjadi Timbalan Dekan Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pengarah Institut Bahasa, Kebudayaan Kesusasteraan Melayu. Pada tahun 1978, beliau dilantik menjadi Profesor Kesusasteraan sewaktu berusia 36 tahun. Pada tahun 1977 – 1978, Muhammad menjadi Profesor Pelawat, di North Carolina State University, Raleigh, North Carolina, Amerika Syarikat; menjadi “Asian Scholar in Residence” di University Michigan. Dalam tahun 1992-1993, beliau dipilih menjadi Fullbright Visiting Reseacher, di University of California, Berkeley, dan seterusnya menyandang Kerusi Pengajian Melayu di Universiti Leiden, Netherlands, dari tahun 1993-1994.
Ketokohan Muhammad Haji Salleh dalam dunia penulisan puisi Melayu moden begitu dirasakan oleh para peminat sastera tanah air apabila karya-karyanya, terutamanya puisi, mendapat perhatian bukan sahaja oleh Panel Hadiah Karya Sastera tanah air bahkan setelah beliau memenangi “Hadiah Sastera Asean” di Jakarta. Sejak tahun 1971, beberapa buah puisinya telah memenangi Hadiah Karya Sastera dan kemudiannya dalam tahun 1977, Muhammad menerima Hadiah Sastera Asean bahagian puisi dengan kumpulan puisi beliau Perjalanan Si Tenggang II.
Bagi Muhammad, puisi adalah suatu bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa dan kebijaksanaan penyair dan tradisinya. Sebuah puisi atau pantun adalah susunan muzik bahasa yang mengindahkan bahasa itu serta juga pembacaan oleh pendengaran. Beliau bersetuju dengan definisi Robert Frost, seorang penyair Amerika, bahawa puisi ialah sesuatu yang setelah kita membacanya kita menjadi lebih bijaksana. Para penyair menolong menyedarkan kita kepada masalah kita bersama malah mendefinisikan masalah penting supaya kita benar-benar dapat menyelesaikannya.
Amat jelas bahawa tema puisi Muhammad pada umumnya lebih banyak memaparkan masalah-masalah bersama, masalah eksistensi individu yang berhadapan dengan kehidupan kekotaan. Bangunan-bangunan tinggi, teknologi moden, motokar, lampu neon bukan menjadi teman tetapi merupakan objek yang ditentang dan diperhitungkan melalui sesuatu moral-judgement (kemelayuan atau kemanusiaan sejagat). Kehidupan kekotaan yang bobrok dan persekitaran yang seperti ini ditentang oleh otak, akal dan pegangan. Demikian puisi-puisi beliau lebih menekankan pemikiran daripada perasaan. Sikap dan fikiran beliau tercermin kepada bentuk puisi yang padat dan kata-kata yang kurang mengandungi emosi.
Beliau secara sedar berusaha menggunakan bahasa yang tidak biasa dipakai oleh penyair lain. Kerana itu terdapat pembentukan ungkapan-ungkapan baru untuk memberikan ketepatan dan ketajaman makna dalam puisi-puisi beliau. Namun dalam ungkapan yang baru dan asli itu, kadang-kadang terasa terlalu asing pula pengucapannya, dan hal ini mungkin juga akibat pengaruh kesusasteraan dunia yang pernah menjadi kajian dan pengalaman beliau selama ini.
Muhammad Haji Salleh meminati penyair-penyair Chairil, Subagio Sastrowardojo (Indonesia) dan pada satu ketika juga meminati T.S. Eliot dan Pablo Neruda. Beliau meminati sastera dari Barat bukan sahaja kerana terdapatnya keragaman tetapi juga kerana di Barat sastera kerana terdapatnya keragaman tetapi juga kerana di Barat sastera sudah menjadi sebahagian daripada ilmu tentang manusia dengan falsafah, psikologi dan sebagainya. Yang lebih menarik minat beliau ialah sastera Barat itu mengandungi eksperimen-eksperimen yang pelbagai yang cuba mencari stail yang sempurna untuk ekspresi yang tepat. Itulah antara unsur-unsur Barat yang diperhatikannya.
Muhammad telah menerbitkan lapan buah kumpulan puisi perseorangan di samping puisi yang terbit dalam kumpulan bersama. Kumpulan puisi beliau, Sajak-sajak Pendatang bukan saja sejumlah puisi yang dicipta sewaktu beliau mengembara di luar tanah air malah ia merupakan satu kumpulan puisi yang kukuh, berbeza daripada puisi-puisi yang dicipta oleh penyair yang sebelum dan sezaman dengan beliau. Panel Hakim Karya Sastera telah memilih Buku Perjalanan Si Tenggang II sebagai kumpulan puisi Muhammad yang terbaik bagi tahun 1975. Kumpulan ini dikatakan dengan jelas memperlihatkan bukan saja stail dan peribadi penyair, bahkan konsep puisi yang secara tegas mengelak daripada ungkapan romantik dengan menggunakan kata-kata secara tepat, fungsional dan berkesan.
Sebagai penyair yang menulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris, Muhammad mempunyai kekuatan bahasa yang dapat dan mampu menterjemahkan puisi-puisi Melayu ke dalam bahasa Inggeris. Beliau adalah salah seorang penterjemah kesusasteraan yang penting yang telah banyak menterjemah puisi Melayu ke dalam bahasa Inggeris. Malah beliau pernah menjadi Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia dari tahun 1978 hingga tahun 1982. Dan kerana kegiatan kreatif dan ilmunya dalam kajian kesusasteraan, beliau pernah menjadi sidang editor jurnal Tenggara, anggota Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, dan anggota Panel Anugerah Sastera Negara.
Demikianlah Muhammad Haji Salleh sebagai sasterawan yang juga ahli akademik yang dihormati telah memainkan peranan penting dalam dunia kesusasteraan Melayu. Dalam banyak pertemuan penulis yang dihadirinya dan kertas-kertas kerja yang dibentangkannya, Muhammad banyak sekali memberikan perhatian tentang teori-teori sastera dalam hubungannya dengan kesusasteraan Melayu.
Bercakap tentang puisi-puisi yang dihasilkannya, puisi-puisinya selalu dihubungkan dengan intelektualisme, idea dan pemikiran yang cukup serius. Muhammad melihat kehidupan dengan sikap intelektual seorang pencari dan pemikir. Sebagai seorang penyair yang rajin bereksperimen dan mencari bentuk-bentuk baru yang lebih kuat, Muhammad sejak akhir-akhir ini banyak menghasilkan puisi yang didasarkan daripada buku Sejarah Melayu. Puisi-puisi tersebut dapat diikuti dalam bukunya Sajak-sajak dari Sejarah Melayu yang telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1981.
Muhammad telah terpilih menjadi Sasterawan Negara dalam tahun 1991; dan menerima anugerah S.E.A. Write Awards di Bangkok dalam tahun 1997. Kini Muhammad adalah Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
KARYA
Puisi :
Himpunan Sajak (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969, 139 hlm.; Sajak-sajak Pendatang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1973, 62 hlm.; Buku Perjalanan Si Tenggang II, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1975, 74 hlm.; Ini Juga Duniaku, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., 1977, 83 hlm.; Times and Its people, Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd., 1978, 80 hlm.; The Travel Journals of Si Tenggang II, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, 72 hlm.; Pilihan Puisi Baru Malaysia – Indonesia (Peny.), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, 314 hlm.; Puisi-puisi Nusantara (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, 294 hlm.; Sajak-sajak dari Sejarah Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1981, 88 hlm.; Tinta Pena (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1981, 631 hlm.; Dari Seberang Diri, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1982, 70 hlm.; Antologi Puisi ASEAN (antologi bersama), Denpasar: Yayasan Sanggar Seniman Muda Bali, 1983, 85 hlm.; Lagu Kehidupan (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983, 302 hlm.; Bintang Mengerdip (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 75 hlm.; 100 Sajak Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur. Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984, 141 hlm.; Bunga Gerimis (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986, 132 hlm.; Puisirama Merdeka (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1986, 141 hlm.; Kumpulan Puisi Malaysia/Malaysian Poetry 1975-1985 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaia, 1988, 167 hlm.; Puisi Baharu Melayu 1961 – 1986 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 941 hlm.; Suara Rasa (Voice From Within) (antologi bersama), Kuala Lumpur: Maybank, 1993, 228 hlm.; Beyond the Archipelago, Athens: Center of International Studies, Ohio University, 1995, 243 hlm.; Rupa Kata (antologi bersama), Ipoh: Yayasan Kesenian Perak, 1996, 122 hlm.; Sebuah Unggun di Tepi Danau, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996, 259 hlm.
Kajian :
Tradition and Change in Contemporary Malay-Indonesian Poetry, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1977, 190 hlm.; Selection from Contemporary Malaysian Poetry (Peny.), Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, 1978, 118 hlm.; Pengalaman Puisi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 85 hlm.; An Anthology of Contemporary Malaysian Literature, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 413 hlm.; The Mind of The Malay Author, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, 178 hlm.; Syair Tentang Singapura Abad Kesembilan Belas, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994, 127 hlm.; Sulalatus al-Salatin (Sejarah Melayu), Kuala Lumpur: Yayasan Karya Agung, 1997, 338 hlm.
Esei/Kritikan :
Kritikan Sastera di Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, 1974, 187 hlm.; Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan (antologi bersama), Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, 1976, 338 hlm.; Kesarjanaan Melayu (antologi bersama), Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, 1977, 368 hlm.; Penulisan Kreatif (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, 92 hlm.; Imej dan Cita-cita: Kertas Kerja Hari Sastera 1980 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, 87 hlm.; Cermin Diri, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986, 208 hlm.
Terjemahan :
Teori Kesusasteraan: Satu Pengenalan/Terry Eagleton, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 264 hlm.; Salju Musim Bungal Yukio Mishima, Kuala Lumpur: Yayasan Penataran Ilmu, 1990, 624 hlm.

No comments:

Post a Comment